Pada 20 April 2016 yang lalu, saya telah menyertai lawatan sambil belajar ke MRSM Serting yang dianjurkan oleh sekolah saya, Sekolah Kebangsaan Bandar Bukit Mahkota (SKBBM). Lawatan ini melibatkan kumpulan CHAMPION tahun 6, iaitu seramai 80 orang pelajar. Lawatan ini diadakan bertujuan untuk memotivasikan murid tahun 6 yang bakal menduduki peperiksaan UPSR.
Saya telah berkumpul di kantin sekolah pada jam 7.00 pagi. Selepas bersarapan, saya dan kawan-kawan terus ke dataran perhimpunan untuk mendengar taklimat daripada guru penyelaras tahun 6. Kami juga dibahagikan kepada 2 kumpulan mengikut nombor bas masing-masing. Selepas mendengar taklimat, saya terus menaiki bas.
Tepat pada jam 8.15 pagi, kami bertolak ke MRSM serting yang terletak di Negeri Sembilan. Perjalanan kami mengambil masa selama 2 jam. Pada jam 10.15 pagi, kami tiba di MRSM Serting.
![]() |
Semasa dalam perjalanan |
Apabila tiba di sana, Pengetua MRSM Serting, beberapa orang guru dan Ketua Murid menyambut ketibaan kami. Kami dibawa ke perpustakaan dan pengetua memberi taklimat tentang latar belakang sekolah tersebut.
Selepas itu, kami dibawa oleh beberapa pelajar MRSM untuk melihat persekitaran sekolah mereka. Saya dapati terdapat banyak kemudahan yang disediakan seperti padang, asrama yang mencukupi, bilik komputer, makmal dan lain-lain.
Pada jam 12.30 tengahari, kami makan di kantin sekolah. Sebelum bertolak pulang, kami solat zohor di surau yang terdapat di sana. Kmi selamat tiba di Sekolah Kebangsaan Bandar Bukit Mahkota pada jam 3:30 petang. Sesungguhnya, sekolah itu sangat berbeza dengan sekolah harian biasa.